LANGKAWI: Kehadiran hanya 27 penduduk yang bergejala daripada sasaran awal 200 penduduk bagi menjalani ujian saringan COVID-19 pada hari pertama perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) penempatan Bukit Malut mencetuskan kerisauan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Langkawi.

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mansor Ismail, apa yang lebih menggusarkan adalah daripada jumlah terbabit, seramai 24 individu disahkan positif COVID-19 yang mana mewakili 89 peratus hasil keputusan ujian pada hari pertama.

Susulan itu, beliau mengharapkan lebih ramai individu atau penduduk Bukit Malut yang mempunyai gejala seperti batuk, demam, sakit tekak, sukar untuk bernafas, hilang deria rasa dan tidak bertenaga untuk segera hadir ke pusat saringan bagi menjalani ujian saringan COVID-19.

Ia bagi memastikan penilaian risiko dapat dibuat sekali gus pihak kesihatan dapat memberi rawatan sewajarnya kepada penduduk di lokaliti itu.

"(Ujian saringan) yang dibuat di PKPD Bukit Malut (pada hari pertama iaitu Selasa) hanyalah 27 sampel yang dibuat. (Daripada jumlah itu) 24 didapati positif, dan kadar positif dia kita tengok tinggi iaitu melebihi 80 peratus,

"Apa yang merisaukan saya tentang saringan di PKPD Bukit Malut ini ialah orang yang bergejala tidak keluar ke pusat saringan kita di sini, dan kita dapati mereka menjadi seolah-olah risau dan takut untuk keluar sedangkan kita sebenarnya bukan sekadar buat saringan tetapi kita membuat rawatan dan penilaian risiko terhadap kes positif (yang ada)," ujar Dr Mansor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Sekatan Jalan Raya (SJR), PKPD Bukit Malut, Langkawi pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa telah mengambil inisitif untuk menggerakkan Unit Promosi Kesihatan PKD Langkawi dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah untuk turun padang melakukan hebahan berkaitan perlaksanaan ujian saringan yang dilaksanakan di penempatan terbabit.

Tambahnya, perbincangan juga telah diadakan untuk tidak mengambil tindakan perundangan bagi individu yang keluar untuk melaksanakan ujian saringan atau mendapatkan rawatan termasuk terhadap kumpulan penduduk yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Kita berharap mana-mana individu yang berada di kawasan PKPD Bukit Malut sama ada (yang mempunyai) pengenalan diri (atau tidak) untuk keluar kerana pada pandangan kesihatan kita, sesiapapun yang bergejala ataupun positif mesti dirawat.

"Kita juga telah berbincang supaya tidak ada implikasi perundangan selain daripada perundangan berkaitan kesihatan (diambil terhadap mereka), (jadi penduduk) tidak perlu takut.

"Kita galakkan mereka keluar supaya kita tahu berapa banyak kes yang aktif di kawasan ini. Kes (seperti) ini perlu dikenal pasti awal supaya tidak ada perebakan," jelas beliau.