PKPD asrama Top Glove: Kira-kira 3,550 pekerja akan jalani saringan

Bernama
November 17, 2020 23:20 MYT
Anggota tentera melakukan kawalan susulan PKPD di Jalan Abadi 1A Meru Klang yang bermula semalam. --fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Kira-kira 3,550 pekerja yang tinggal di asrama pekerja Top Glove Meru, Klang akan menjalani ujian saringan COVID-19, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang Mohd Zainal Mohd Nor berkata 200 kakitangan pelbagai agensi antaranya polis, Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Angkatan Tentera Malaysia dan Pejabat Kesihatan Daerah Klang akan bertugas sepanjang proses saringan tersebut.
"PKPD ini dibahagikan kepada dua sektor kawasan iaitu sektor A dan B dengan keluasan keseluruhan sektor terlibat adalah enam hektar (15.6 ekar)," menurutnya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd Zainal berkata sektor A melibatkan asrama pekerja wanita Top Glove dan kawasan perumahan sekitarnya meliputi Jalan Abadi 5 dan Jalan Abadi 1a Off Jalan Teratai, Meru, Klang.
Sektor B pula melibatkan asrama pekerja lelaki Top Glove dan kawasan perumahan sekitarnya meliputi Jalan Abadi 1A/KU8 dan Jalan Sesenduk 21 Off Jalan Teratai, katanya.
BACA: Hanya 5,700 pekerja sahaja terlibat dalam PKPD di asrama Top Glove
BACA: Top Glove sahkan 17 pekerjanya diuji positif COVID-19 sejak Januari
Pada Isnin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD akan mula dikuatkuasakan di asrama pekerja Top Glove, Klang bermula semalam hingga 30 Nov.
Katanya, pelaksanaan PKPD di lokasi itu yang diputuskan pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Isnin, melibatkan pekerja kilang berkenaan yang menghuni asrama pekerja lelaki dan wanita serta penduduk di Jalan Abadi 1A/8, Jalan Abadi 1A dan Jalan Abadi 10A/KU8.
Sehingga Isnin, hasil saringan COVID-19 yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan di kawasan terbabit mendapati 215 kes positif COVID-19.
-- BERNAMA
#PKPD #COVID-19 #Top Glove #Meru #Klang #ujian saringan #Mohd Zainal Mohd Nor #asrama pekerja #polis #tentera #kes positif