KUALA LUMPUR: Selain di Selangor dan Kuala Lumpur, kerajaan juga memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 11 lokaliti lain di Perak, Pahang, Melaka dan Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan PKPD di semua lokaliti tersebut berkuat kuasa dari 3 Julai 2021 hingga 16 Julai 2021.

Menurutnya, dua lokaliti di Perak iaitu Kilang Latexx Manufacturing Sdn Bhd dan Asrama Pekerja Latexx Village, di Taiping serta Asrama Pekerja Kilang Latexx 3 di Kamunting, dikenakan PKPD susulan jumlah kes COVID-19 yang tinggi.

Selain itu, PKPD turut dikuatkuasakan di Mukim Kuala Kuantan 1, di Kuantan, Pahang dan Taman Mewah di Alor Gajah, Melaka.

Selebihnya, tujuh lagi lokaliti dikenakan PKPD di Sabah membabitkan dua lokaliti di Tawau iaitu Kampung Mangga di Nasip Kita dan Kampung Kijang, di Balung selain Taman Jaya Diri di Kota Kinabalu dan Kampung Lingkodon di Kota Belud.

Lokaliti lain yang turut dikenakan PKPD di Sabah ialah Kampung Pintas Kubu di Beaufort,  Kampung Muhibbah di Putatan dan Kampung Goshen di Kota Marudu.

Sementara itu, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan PKPD di sembilan Rumah Panjang Sungai Rassau, di Mukah, Sarawak dan Asrama Pekerja Warga Asing dan Kawasan Kilang Wah Cens Plastic Industries & Metal Sdn Bhd di Segamat, Johor.

Menurut Ismail Sabri, PKPD di dua lokaliti itu sepatutnya tamat pada 2 Julai 2021 namun dilanjutkan 14 hari lagi bermula 3 Julai 2021 hingga 14 Julai 2021.

Keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati masih berlaku penularan dalam kalangan penduduk serta terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut.

Dalam pada itu, PKPD di Taman Sri Purnama, di Pasir Puteh, Kelantan ditamatkan lebih awal daripada dijadualkan.