PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti di Tawau, Sabah, bermula 9 Jun hingga 22 Jun ini, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri.

Dalam kenyataan media hariannya, Ahli Parlimen Bera itu berkata, lima lokaliti berkenaan ialah - Kampung Tanjung Batu Darat; Taman Apas Permai; Bandar Sri Indah; Taman Megah Jaya dan Jalan Budi, Sri Tanjung.

Ismail Sabri berkata, KKM melaporkan sebanyak 10 kes positif telah direkodkan di Kampung Tanjung Batu Darat, Taman Apas Permai (18 kes), Bandar Sri Indah (36 kes), Taman Megah Jaya (14 kes) dan 10 kes di Jalan Budi, Sri Tanjung.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima (5) lokaliti yang dinyatakan berkuatkuasa 9 Jun sehingga 22 Jun 2021.

“Pelaksanaan PKPD bagi menyekat pergerakan keluar masuk ke lokaliti-lokaliti Ini sekali gus mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko ke komuniti lain,” katanya lagi.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah memutuskan melaksanakan PKPD di Taman Perdana, Lahad Datu; Kampung Narandang, Kudat, Sabah; dan Politeknik Sultan Azlan Shah, Mualim, Perak.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Tiga (3) Mukim Dalam Daerah Lipis, Pahang pada 8 Jun 2021 (11:59 malam), seperti yang dijadualkan.

Turut ditamatkan PKPD ialah di dua lokaliti di Taman Seri Ketiau dan Taman Desa Seri Ketiau, Putatan, Sabah; Kampung Sungai Imam, Tawau, Sabah; dan Bandar Triang, Bera, Pahang.