KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Alor Gajah, Melaka dan Tawau, Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan itu akan mula dikuat kuasa pada 16 Mei sehingga 29 Mei depan.

Di Alor Gajah, Melaka, Ismail Sabri berkata arahan PKPD itu dilaksanakan di Kampung Lubok Redan.

"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh dua minggu apabila sebanyak 56 kes positif telah direkodkan di lokaliti ini.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara di Tawau, Sabah, Ismail Sabri berkata arahan itu akan dilaksanakan di Lorong 2 Kampung Kongsi 8.

"Sehingga kini, KKM melaporkan sebanyak 15 kes positif COVID19 telah direkodkan hasil daripada 56 saringan di lokaliti ini serta dengan kadar positiviti adalah 26.79 peratus.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM menjalan pengesanan awal (ACD) kes-kes positif supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan mengekang penularan jangkitan COVID19 ke komuniti lain," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan turut bersetuju melanjutkan PKPD SMK Madai, Kunak, Sabah KKM sehingga 28 Mei depan ekoran penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD serta terdapat sebanyak 51 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

Selain itu, kerajaan turut memutuskan untuk menamatkan PKPD Kampung Bergosong, Tawau, Sabah seperti yang dijadualkan, esok.