KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat lokaliti di Sabah, Kelantan dan Pahang bermula 17 hingga 30 April ini.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kawasan yang dikenakan PKPD di Sabah membabitkan Taman Tawau Lama dan Kampung Batu Payung di Tawau.

"Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Taman Tawau Lama dan Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah bermula dari 17 April sehingga 30 April 2021.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti ini dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar," katanya dalam satu kenyataan media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jumaat.

Selain di Tawau, kerajaan turut akan melaksanakan PKPD di Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan bermula dari 17 April sehingga 30 April 2021," katanya lagi.

Sementara di Pahang pula, kawasan yang bakal dikenakan PKPD ialah di Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan, Sri Layang, Bentong.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan, Sri Layang, Bentong, Pahang berkuat kuasa 17 April sehingga 30 April 2021.

"Pelaksanaan PKPD adalah untuk memudahkan KKM mengawal pergerakan keluar masuk sekali gus menyekat penularan COVID-19 di lokaliti itu," katanya.

Ismail Sabri menjelaskan, keputusan melaksanakan PKPD di tiga lokaliti itu bagi memudahkan KKM mengawal pergerakan keluar masuk sekali gus menyekat penularan COVID-19 di lokaliti itu dan memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar.

Jelas beliau, keputusan melaksanakan PKPD dibuat kerana KKM mengesahkan telah berlaku penularan jangkitan COVID-19 di lokaliti terbabit.