Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Netanyahu berang, beri amaran pada Hezbollah jika terus serang Israel

Sumber: The Times of Israel
Netanyahu menegaskan, Hezbollah akan “membayar harga yang berat” jika terus melancarkan serangan terhadap negara tersebut.

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengeluarkan amaran keras kepada Hezbollah susulan peningkatan serangan kumpulan itu ke atas utara Israel. 

Dalam sidang media terbarunya, Netanyahu menegaskan, Hezbollah akan “membayar harga yang berat” jika terus melancarkan serangan terhadap negara tersebut. 

Advertisement

Netanyahu turut menuduh kerajaan Lubnan “bermain dengan api” kerana membenarkan Hezbollah beroperasi secara bebas dan gagal memenuhi komitmen melucutkan senjata kumpulan berkenaan. 

Beliau mendakwa, Israel akan bertindak “di lapangan” sekiranya Beirut tidak mengambil langkah sewajarnya untuk mengekang kegiatan Hezbollah. 

Dalam masa yang sama, jet pejuang Israel dilaporkan berlegar di ruang udara Beirut ketika Hezbollah melancarkan serangan roket dan dron sebagai tindak balas terhadap ketegangan terbaru yang tercetus selepas kematian Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan AS-Israel di Tehran.

Ketegangan di Asia Barat semakin meningkat dengan Israel mendakwa pembunuhan Khamenei telah mencetuskan gelombang serangan balas daripada proksi Iran termasuk Hezbollah. 

Netanyahu berkata, Israel kini membentuk pakatan baharu serantau yang sebelum ini dianggap mustahil untuk dicapai.

Dalam masa sama, Netanyahu menegaskan, Iran kekal sebagai ancaman terbesar terhadap Israel dan mendakwa Teheran menggunakan rangkaian ketenteraan serantau bagi melemahkan negara itu melalui roket, dron dan program nuklearnya. 

Netanyahu turut mendakwa Israel telah mencapai “kejayaan besar” yang bakal mengubah imbangan kuasa di Asia Barat sambil menegaskan, hubungan antara Israel dan Amerika Syarikat kini berada pada tahap paling kukuh dalam usaha menangani ancaman Iran. - Agensi

Must Watch Video