KUALA LUMPUR:Kerajaan hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Teluk, Setiawan, Perak bermula 11 sehingga 24 Februari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan pelaksanaan PKPD di Kampung Teluk itu dibuat setelah Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan peningkatan kes COVID-19 di kawasan tersebut.

"Sehingga 9 Februari 2021, KKM telah melaksanakan 43 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 16 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Teluk, Setiawan, Perak bermula 11 sehingga 24 Februari 2021," katanya menerusi kenyataan media mengenai pelaksanaan PKP pada Rabu.

Beliau juga menjelaskan PKPD dilaksanakan di kawasan tersebut untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar yang melibatkan 400 orang penduduk dan untuk mengawal jangkitan dalam komuniti.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan seramai 589 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 543 dikompaun, 42 individu direman manakala empat lagi dijamin.

Manakala Operasi Benteng telah menangkap 55 orang Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan merampas tujuh buah kenderaan darat serta tiga buah kapal/bot.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 88 buah bot/kapal di perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan.

"Op Benteng melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 535 Sekatan Jalan Raya (SJR)," katanya lagi.

Ismail Sabri turut memaklumkan seramai 438 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.