KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu, Kota Belud, Sabah bermula 26 Mac sehingga 8 April 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di kedua-dua lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti tinggi.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 89 ujian saringan di Kampung Lebak Moyoh dan daripada jumlah itu sebanyak sembilan kes positif COVID-19 telah direkodkan.

"Sebanyak 77 ujian saringan telah dilaksanakan di Kampung Siasai Tamu dan tujuh kes positif telah dilaporkan di lokaliti ini.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu katanya, kerajaan turut mengumumkan penamatan PKPD Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong Nabawan, Sabah pada 26 Mac 2021 seperti yang dijadualkan.

Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 821 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 140 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

"KKM mengesahkan kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, kluster adalah terkawal serta semua kes positif telah menerima rawatan," katanya.

Sementara itu jelasnya, seramai 41 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 28 dikompaun manakala 13 lagi direman.

"Antara kesalahan ingkar SOP adalah gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (24), tidak memakai pelitup muka (tujuh), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (lima), tiada penjarakan fizikal (dua) dan lain-lain (tiga)," ujarnya.

Jelasnya lagi, Operasi Benteng telah menangkap sembilan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua buah kenderaan darat.

Sementara itu katanya, sebanyak 61 operasi sanitasi dilakukan meliputi 19 zon merah, 10 zon jingga, 12 zon kuning dan empat zon hijau di seluruh negara.

Ujarnya lagi, seramai 865 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Dalam pada itu kata Ismail, seramai 2,890 warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, lima orang didapati positif COVID-19.

Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 651,081 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 33,781 majikan.

Daripada jumlah itu, seramai 10,034 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 641,047 lagi adalah negatif.