KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Melaka, Perak, Sarawak dan Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, PKPD di lokaliti terbabit bermula 23 Jun hingga 6 Julai ini.

Jelasnya, keputusan diambil setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP serta atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),

Ismail Sabri memaklumkan di Melaka, PKPD itu dilaksanakan di Penjara Sungai Udang kecuali Kuarters Penjara, di Melaka Tengah.

Manakala di Perak, Ismail Sabri memaklumkan PKPD dilaksanakan di Kilang Sawit Cahaya Muda termasuk kuarters pekerja, di Batang Padang.

Beliau juga menjelaskan Rumah Panjang Gabriel Bujang anak Ikau, Sunagi Lepah di Tanjung Manis dan Kuarters Pekerja Balingian Power Generation di Jalan Sibu-Mukah merupakan dua lokaliti di Sarawak yang dilaksanakan PKPD.

Sementara di Sabah, empat lokaliti membabitkan Blok 11 Kampung Titingan dan Batu 7, Jalan Tinagat di Tawau, Kampung Ejuk, di Kota Belud dan Kampung Warisan, di Kota Kinabalu dilaksanakan PKPD.

"PKPD di lokaliti terbabit dilaksanakan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.

"Selain itu, PKPD dilaksanakan di lokaliti tersebut bagi memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti COVID-19 kekal berada dalam kawasan," katanya menerusi kenyataan harian pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Isnin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga memaklumkan penamatan PKPD di beberapa lokaliti pada 21 dan 22 Jun ini.

Beliau menjelaskan PKPD yang ditamatkan pada 21 Jun membabitkan FELDA Tembagau 1 dan 3 di Bera, Pahang dan Kampung Simpangan serta Kampung Bolong Baru, keduanya di Tuaran di Sabah.

Manakala PKPD yang tamat pada 22 Jun pula membabitkan dua lokaliti di Perak iaitu Politeknik Sultan Azlan Shah di Muallim dan FELDA Trolak Utara di Sungkai.

Sementara di Sabah lima lokaliti membabitkan Taman Apas Permai, Bandar Sri Indah, Taman Megah Jaya di Tawau dan Kampung Narandang di Kudat serta Ladang FGV Kalabakan Selatan di Kalabakan.

"Keputusan manamatkan PKPD dibuat setelah KKM mendapati terdapat trend penurunan kes dan tiada lagi sampel ujian menunggu keputusan,," katanya lagi.