KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di tiga lokaliti di Pahang, Perak dan Sabah selama 14 hari bermula Ahad dan Isnin depan.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad memaklumkan, pelaksanaan itu dilakukan selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta dan jangkitan COVID-19 di lokaliti terbabit.

"Di Perak lokaliti yang dikenakan PKPD adalah Kampung Ulu Groh, Kampar sementara di Pahang pula melibatkan Ladang Insanjaya dan Ladang Darabit di mukim Bebar, Pekan," katanya dalam satu hantaran yang dimuatnaik di Facebook MKN di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Rodzi menjelaskan satu lagi lokaliti yang dikenakan PKPD adalah di Sabah iaitu di Taman Semarak Megah.

Dalam perkembangan yang sama, beliau memberitahu, lapan lagi lokaliti di Pahang dan Sabah ditamatkan PKPD selepas mendapati kes menurun dan kluster adalah terkawal.

Antara tiga lokaliti yang ditamatkan di Pahang adalah Kampung Batu Balai, Kampung Congo dan Kampung Perlok.

Sementara itu katanya, lima lagi lokaliti di Sabah melibatkan Kampung Tuhau, Matunggong, Taman Ketiau, Taman Teluk Villa, Plantanium Apartment dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Seriga.