KUALA LUMPUR :Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan di Kampung Haji Baki, Kuching akan ditamatkan, esok.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, keputusan itu diambil selepas tiada kes baharu yang dicatatkan menerusi ujian saringan COVID-19 kali kedua yang dijalankan ke atas penduduk kampung berkenaan.

“Di samping itu juga, tiada bukti yang menunjukkan jangkitan masih menular di kawasan tersebut,” katanya pada sidang media harian JPBN pada Khamis.

Dalam kesempatan itu, Uggah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam memastikan kelancaran usaha untuk menangani penularan wabak COVID-19 di kampung tersebut.

Sementara itu, Uggah memberitahu, Sarawak mencatatkan lapan kes positif baharu COVID-19 hari ini.

Jelasnya, tujuh daripadanya dicatatkan di Kuching, manakala satu di Lawas. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Sarawak meningkat kepada 1,019 kes.

“Tujuh kes yang dikesan di Kuching pada hari ini diklasifikasikan sebagai kes jangkitan tempatan kerana mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes-kes positif yang dilaporkan sebelum ini.

“Salah satu kes melibatkan kontak rapat kepada Kluster Greenhill. Dua lagi kes melibatkan Kluster Wisma Saberkas.

“Kesemua kes yang dilaporkan pada hari ini telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak,” ujarnya.

Menjelaskan lebih lanjut, kata Uggah, kes yang dicatatkan di daerah Lawas dikategorikan sebagai Kes Import B yang mana individu berkenaan mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah.

“Kes Ke-1,019 merupakan seorang lelaki warga tempatan yang telah menjalani saringan COVID-19 kerana baru pulang dari Sabah pada 7 November 2020.

“Kes tiba di Lawas melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Merapok dan terus dimasukkan ke pusat kuarantin sejurus tiba untuk menjalani kuarantin wajib 14 hari,” tambah beliau.

Uggah turut memaklumkan Sarawak masih mempunyai lima kluster aktif. Kluster-kluster tersebut adalah Kluster Greenhill, Kluster Wisma Saberkas, Kluster Bah Arnab, Kluster Baki dan Kluster Seladah. Semuanya di Kuching.

Dalam perkembangan lain, 22 kes dilaporkan telah pulih dan dibenarkan discaj. Daripada jumlah tersebut, 16 kes adalah dari Hospital Umum Sarawak, manakal enam dari Hospital Miri.

Ini menjadikan jumlah yang telah sembuh adalah 882 individu atau 86.56 peratus.

Beliau berkata demikian pada sidang media JPBN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Khamis.