KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Serumah Daerah Kecil Siburan, Bahagian Serian Sarawak bermula esok sehingga 20 Mac depan.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PKPD itu dilaksanakan selepas 21 penduduk disahkan positif COVID-19.

"KKM mengesahkan masih berlaku penularan kes melibatkan penduduk di lokaliti terbabit.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Serumah Daerah Kecil Siburan, Bahagian Serian, Sarawak bermula 7 Mac hingga 20 Mac 2021," jelasnya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Jelasnya lagi, pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan saringan secara bersasar ke atas 580 penduduk serta mengesan beberapa lagi kontak rapat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare, Hilir Perak mulai 7 Mac ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan semua kes positif telah menerima rawatan dan kontak rapat telah diasingkan serta dipantau.

"Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama, Kilang dan Tapak Binaan Central Medicare, Hilir Perak, Perak yang dijadualkan tamat pada esok, 7 Mac 2021.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 2,074 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 1,650 kes positif COVID-19 telah direkodkan," jelasnya lagi.

Sebelum ini, PKPD dilaksanakan di kawasan terbabit bermula 22 Februari lalu selepas 185 orang didapati positif COVID-19.