Kerajaan telah mewartakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke atas Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur, dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan pelaksanaannya akan bermula 20 April (hari ini), sehingga 3 Mei, 2020.

“PKPD ke-6 ini dilaksanakan untuk membendung jangkitan COVID-19. Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuatkuasa.

“Semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Untuk rekod, ia merupakan PKPD ke-6 selepas PKPD Hulu Langat, PKPD Simpang Renggam, PKPD Menara City One, dan PKPD Bangunan Selangor Mansion dan Bangunan Malayan Mansion, dan PKPD Masjid India.

Bagaimanapun PKPD Hulu Langat telah pun ditamatkan pelaksanaannya pada 14 April lepas.

Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, PKPD ke-6 itu akan meliputi lapan parcel iaitu:-

Bagaimanapun, Ismail Sabri memberi jaminan bekalan barang basah yang biasa didapati dari Pasar Borong Kuala Lumpur, atau lebih dikenali sebagai Pasar Borong Selayang tidak akan terjejas kerana pasar berkenaan tidak ditutup.

“Pasar borong kita tak tutup, kita hanya tutup kawasan perumahan di sekitarnya, terutamanya yang melibatkan rakyat ramai rohingya yang memegang UNHCR...itu yang kita tutup. Pasar borong masih dibuka seperti biasa,” katanya lagi.

Beliau berkata, penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP DBKL di 03-4026 7222 atau Pusat Kawalan IPD Sentul di 03-4048 2212.