PKPD Pentadbiran Kuala Langat: Ini 10 perkara yang anda perlu tahu

Isabelle Leong
Jun 3, 2020 10:19 MYT
Kira-kira 600 anggota pasukan keselamatan barisan hadapan ditugaskan di kawasan PKPD secara pentadbiran tersebut bagi mengenakan kawalan ketat selain memastikan warga asing menjalani ujian saringan COVID-19. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Dua kawasan perumahan di Kuala Langat yang dipasangkan kawat berduri tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Sebaliknya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni di Bukit Changgang hanya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara pentadbiran.
Pasti timbulnya tanda tanya…
Mengapa PKPD secara pentadbiran dikuatkuasakan di dua kawasan perumahan tersebut?
Bilakah PKPD secara pentadbiran tersebut akan berakhir?
Berapakah pula jumlah penduduk yang terlibat dalam operasi PKPD secara pentadbiran ini?
Ini 10 perkara yang anda perlu tahu tentang PKPD Pentadbiran:
1. Menurut Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim, PKPD secara pentadbiran itu dikuatkuasakan sejak Selasa (2 Jun) sehingga 16 Jun iaitu selama dua minggu.

2. PKPD secara pentadbiran di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama di Bukit Changgang melibatkan tiga zon iaitu Zon A, B dan C membabitkan 1,752 unit rumah pangsa, rumah kedai dan rumah teres. 

3. Seramai 9,000 penduduk terlibat dan membabitkan kawasan seluas 4,100 meter sekali gus menjadikan ia sebagai PKPD secara pentadbiran yang terbesar di negara ini dengan pemasangan pagar kawat berduri terpanjang dengan jarak 4.1 kilometer.
4. Ia dilaksanakan berikutan kes 24 pekerja pembersihan di KLIA yang didapati positif pada 28 Mei lalu yang mana 20 orang daripadanya menetap di Kuala Langat manakala empat lagi Nilai, Negeri Sembilan.
5. Keseluruhan kawasan terbabit dihuni 70 peratus warga tempatan manakala bakinya ialah 30 paratus warga asing.
6. Penduduk tempatan yang belum disaring dibenarkan keluar masuk dan maklumat mereka dicatatkan di pintu keluar/masuk utama.
7. Setelah disaring dan diperintahkan untuk “home quarantine” selama 14 hari, penduduk tempatan tidak dibenarkan keluar dari point keluar/masuk kecuali untuk tujuan dibenarkan.
8. Bukan warganegara Malaysia tidak dibenarkan untuk keluar daripada point keluar/masuk utama.
9. Kedai menjual makanan dan keperluan harian di dalam kawasan kawalan dibenarkan beroperasi sepeti biasa untuk memudahkan pembelian barang makanan dan keperluan.
10. Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata setakat Rabu (3 Jun), seramai 3,000 orang telah menjalani ujian saringan COVID-19, manakala baki lagi dijangka diselesaikan pada Jumaat ini.
#COVID-19 #ismail sabri yaakob #Kuala Langat #Menteri Kanan Kluster Keselamatan #Mohd Jusni Hashim #Pegawai Daerah Kuala Langat #Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran #PKP Diperkasakan #saringan #warga asing