PKPD: Polis akan cari individu lari dari Kota Setar - Ismail Sabri

Radhi Muslim
September 11, 2020 15:42 MYT
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis akan memburu kesemua individu berkenaan, kerana tindakan itu membahayakan orang lain. - Gambar fail/BERNAMA
Pihak polis akan mengesan penduduk Kota Setar yang melarikan diri atau tidak pulang ke kawasan itu selepas mendengar pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan.
Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis akan memburu kesemua individu berkenaan, kerana tindakan itu membahayakan orang lain.
Justeru, pihaknya menyeru agar penduduk yang melarikan diri atau tidak pulang selepas mendengar pengumuman PKPD dikuatkuasakan semalam, agar segera pulang.
"Kita pernah (dengar) kes (sebegini) berlaku di Selangor Mansion sewaktu PKPD dahulu, jadi apabila ada yang melarikan diri insya-Allah pihak polis akan mencari mereka.
"Polis akan kesan mereka, saya harap jangan larikan diri. Status mereka belum diketahui. Kalaulah tiba-tiba yang melarikan diri itu positif, ia akan membahayakan orang lain," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke kem tentera Kem Sri Kinabatangan, pada Jumaat.
BACA: PKPD pentadbiran di Kota Setar dan Penjara Tawau bermula tengah malam ini
Terdahulu, pada Khamis beliau mengumumkan pelaksaan PKPD di Kota Setar susulan kewujudan kluster dan peningkatan kes di kawasan berkenaan.
#ismail sabri yaakob #Kota Setar #melarikan diri #Menteri Kanan Pertahanan #Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan #PKPD #polis #Selangor Mansion