KUALA LUMPUR :Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPD) di Taman Khazanah Indah dan Pangsapuri Mutiara Kasih di Lahad Datu serta Felda Umas, di Kalabakan, Sabah yang tamat pada Isnin, dilanjutkan 14 hari lagi, sehingga 9 November depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih meneruskan saringan secara bersasar kepada penduduk dan sehingga kini masih terdapat peningkatan kes positif di ketiga-tiga lokaliti tersebut.

"Sehubungan dengan itu atas cadangan Majlis Keselamatan negara (MKN) Sabah dan nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Taman Khazanah Indah dan Pangsapuri Mutiara Kasih di Lahad Datu serta Felda Umas di Kalabakan, Sabah selama 14 hari lagi bermula 27 Oktober 2020 sehingga 9 November 2020," katanya pada sidang media di sini, pada Isnin.

Walau bagaimanapun Ismail Sabari berkata, kedai runcit dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi sehingga 6 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, 857 individu ditahan atas pelbagai kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

BACA: PKPB di Lembah Klang dilanjutkan, ini 5 perkara penting sidang media Menteri Kanan Pertahanan

Daripada jumlah itu katanya, 10 direman manakala selebihnya dikompaun.

Antara kesalahan ingkar PKPP adalah termasuk tidak memakai pelitup muka (196 individu), aktiviti di pusat hiburan (183 individu), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (175 individu), penjarakan fizikal (172 individu), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (53 individu) dan lain-lain (78 individu)

"Nampaknya isu pelitup muka masih lagi merupakan isu besar kerana ramai lagi yang gagal mematuhi asas ini selain penjarakan fizikal dan begitu juga premis perniagaan yang gagal merekodkan butiran pelanggan.

"Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang ditetapkan," tambahnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, penguatkuasa turut menahan 51 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas dua kenderaan darat dalam Operasi Benteng.