Skip to main content

Malaysia

Malaysia akan main peranan proaktif sumbang penyelesaian konflik di Asia Barat - MKN

Israeli soldiers secure the site where an Iranian missile wreckage landed in the West Bank village of Kifl Haris Tuesday, March 24, 2026. (AP Photo/Majdi Mohammed)
Sidang MKN Khas hari ini juga akan disusuli oleh Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Khas esok yang juga akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri. - Foto AP

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memainkan peranan proaktif untuk menyumbang kepada penyelesaian konflik yang berlaku di Asia Barat.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan berkata perkara itu dibincangkan dalam Sidang MKN Khas yang menumpukan perhatian kepada konflik itu, dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Susulan itu Perdana Menteri, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan ketua-ketua agensi keselamatan sedang berhubung rapat dengan rakan sejawat mereka.

"Sebagai contoh, pada hari ini, Perdana Menteri telah mengadakan perbualan telefon dengan pemimpin-pemimpin New Zealand, Jepun, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu.

"Kecuali Israel, Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan kesemua pemain utama dalam isu ini; pendirian konsisten, berkecuali dan sikap berterus-terang juga membuat Malaysia dihormati," ujar kenyataan tersebut.

Tambah MKN, Malaysia menyambut baik perkembangan mutakhir yang menyaksikan kesemua pihak terbabit untuk menghentikan serangan selama lima hari. 

"Ruang ini harus digunakan untuk mengadakan rundingan secara serius dan ikhlas," kata MKN.

Jelas kenyataan itu, mesyuarat turut mengambil maklum bahawa perkembangan terbaru ini telah menyebabkan penyusutan harga minyak antarabangsa.

"Walau bagaimanapun, Malaysia harus terus bersiap sedia untuk menghadapi situasi konflik yang berpanjangan yang akan membawa implikasi ekonomi bukan hanya kepada Malaysia, tetapi dunia secara keseluruhannya. 

"Kerajaan Malaysia akan mengambil pendekatan menyeluruh dan terselaras untuk menangani keadaan ini," tambah kenyataan itu.

Sidang MKN Khas hari ini juga antara lain membincangkan isu-isu yang terkait termasuklah isu keselamatan seperti aktiviti agensi perisikan di Malaysia, pencegahan aktiviti peneludupan bahan api dan juga keadaan pasukan pengaman Malaysia (MALBATT) yang kini bertugas di Lubnan.

Ia akan disusuli oleh Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Khas esok yang juga akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Tegas MKN, kerajaan sentiasa mengambil pendekatan proaktif untuk memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara dan kebajikan rakyat sentiasa terbela sewaktu keadaan mencabar ini.

 

Advertisement

Must Watch Video