PKPD Tawau: Percepat bantuan, dengar denyut nadi rakyat

Syafik Shukri Jalil
April 26, 2021 05:13 MYT
Christina turut menyarankan pembukaan sektor ekonomi bagi kurangkan beban dan tekanan ekonomi penduduk tawau yang tiada pendapatan tetap. - Bernama
KUALA LUMPUR: Keadilan harus diberikan kepada sekumpulan aktivis yang ditahan reman kerana melakukan tunjuk perasaan di Kampung Muhibbah Raya, Tawau kelmarin.
Ini kerana tindakan mereka itu adalah untuk membela penduduk yang didakwa terkesan dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Malah menurut Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew, kerajaan Gerakan Rakyat Sabah (GRS) dan Perikatan Nasional (PN) perlu mendengar denyut nadi rakyat dan bukan menafikan hak mereka bersuara.
"Saya amat mengharapkan agar mereka yang dikenakan tahanan reman atas perjuangan membela penduduk terkesan akibat dari tekanan ekonomi dan pelaksanaan PKP/PKPD diberikan keadilan sewajarnya sesuai dengan hak kebebasan bersuara," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
BACA: Penahanan aktivis tekan kebebasan bersuara, ekspresi - Anwar Ibrahim
Sehubungan itu, Christina menggesa kerajaan mempercepatkan bantuan kepada penduduk di lokaliti yang dikenakan PKPD di daerah itu.
"Saya sedih membayangkan ada keluarga yang tidak cukup makanan untuk berbuka puasa.
"Justeru, Pusat Khidmat Parlimen Tawau sedang bertungkus-lumus menyediakan bantuan kilat kepada keluarga yang memerlukan dan akan diagihkan secara bersasar dan berperingkat dalam masa dua minggu ini," tambahnya.
Selain itu, beliau turut menyarankan pembukaan sektor ekonomi bagi kurangkan beban dan tekanan ekonomi penduduk tawau yang tiada pendapatan tetap.
Malah ujarnya jualan di kawasan perumahan dan di kampung-kampung perlu dilonggarkan bagi bantu golongan terjejas.
Antara lain, Christina juga meminta jabatan agama menambah bilangan jemaah di masjid dan surau bagi solat berjemaah dan terawih.
#PKPD Tawau #PKPD di Sabah #COVID-19 di Sabah #Kampung Muhibbah Raya #Christina Liew #Gerakan Rakyat Sabah #Perikatan Nasional