Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 93 individu atas kesalahan ingkar Perintah PKPP pada Isnin (17 Ogos).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, tujuh individu direman, empat dijamin, manakala 82 dikompaun.

"Antara kesalahan ingkar PKPP termasuklah aktiviti melibatkan orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (29), aktiviti yang melanggar SOP lain (41), langgar SOP kuarantin termasuk memotong gelang kuarantin (1) dan melanggar tempoh kuarantin (3) serta tidak pakai pelitup muka (9)," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen di sini pada Selasa.

Task Force katanya akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan.

Sementara itu, dari 1 Mei sehingga 17 Ogos 2020, seramai 3,569 pendatang asing tanpa izin (PATI), 652 tekong dan 193 penyeludup telah ditahan menerusi Operasi Benteng.

Turut ditahan, 134 bot atau kapal serta 362 kenderaan.

Semalam, PDRM juga telah membuat 49 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng dan memeriksa 19,493 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.

"PDRM telah berjaya menahan 7 warganegara asing di Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan masuk PATI," ujarnya lagi.