Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kini akan menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam setiap serbuan ke atas premis-premis di bawah Task Force Operasi Pematuhan, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam sidang media harian di Putrajaya, Ahli Parlimen Bera itu berkata, keputusan itu dibuat memandangkan polis hanya boleh menahan dan mengenakan kompaun terhadap individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dengan penyertaan PBT dalam siri serbuan, beliau berkata, lesen pemilik premis perniagaan yang masih degil boleh dibatalkan serta-merta.

"Mesyuarat hari ini memutuskan sekali lagi bahawa setiap serbuan yang dibuat pihak PDRM, mesti disertai oleh PBT...oleh anggota penguatkuasa mereka.

"Ini kerana PDRM hanya boleh mengenakan kompaun dan menahan individu, sedangkan PBT boleh batalkan lesen perniagaan mereka. Kita dah minta PBT turut serta membatalkan lesen bagi premis perniagaan yang melanggar arahan kerajaan," katanya lagi.

Semalam, beliau berkata, seramai 132 individu telah ditahan kerana ingkar PKPP, dengan 14 daripada mereka direman, dan selebihnya dikenakan kompaun.

Ismail Sabri berkata, antara kesalahan yang disenaraikan termasuklah aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal, ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), gagal melunaskan bil kuarantin, serta menganjur/menyertai 'private party'.

Mengenai Ops Benteng semalam, Ismail Sabri berkata, seramai 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan semalam, manakala sebuah bot dan tiga buah kenderaan darat telah dirampas.

Ismail Sabri berkata, kerajaan telah memutuskan untuk memperhebatkan lagi Ops Benteng di kawasan Pantai Timur Sabah susulan terdapat kes PATI yang positif COVID-19 telah menyeludup masuk ke negara ini, dan seterusnya mengakibatkan penularan di kalangan komuniti tempatan.

Dalam pada itu beliau berkata, Mesyuarat Khas masih belum membuat keputusan untuk melaksanakan PKPD kerana ia melibatkan lebih 511 ribu penduduk di Tawau dan 266 ribu di Lahad Datu.

"Kementerian Kesihatan Malaysia akan membuat saringan secara bersasar yang melibatkan 25,000 individu di Tawau dan 13,000 individu di Lahad Datu," katanya lagi.