MALAYSIA
PKR kecam serangan Israel terhadap Qatar, desak PBB bertindak

PKR desak OIC adakan mesyuarat tergempar untuk mengecam serangan dan menyelaras langkah diplomatik, politik serta ekonomi terhadap Israel. - Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggantung dan seterusnya menamatkan keanggotaan Israel dalam badan dunia itu susulan serangan bom rejim berkenaan di Qatar semalam.
Ringkasan AI
- PKR gesa PBB gantung keanggotaan Israel susulan serangan bom rejim itu di Qatar, menyifatkannya sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.
- PKR desak OIC adakan mesyuarat tergempar untuk mengecam serangan dan menyelaras langkah diplomatik, politik serta ekonomi terhadap Israel.
- Seruan boikot global terhadap Israel dalam aspek politik, ekonomi, perdagangan, sukan dan kebudayaan sehingga rejim menghentikan jenayah kemanusiaan.
Menurut kenyataan itu, serangan berkenaan merupakan pelanggaran terhadap hak kedaulatan sesebuah negara seperti yang dijamin menerusi Konvensyen Montevideo (1933) serta prinsip asas tidak campur tangan dalam hubungan antarabangsa.
Media pada Selasa melaporkan Israel mengebom bangunan kediaman yang menempatkan beberapa anggota Biro Politik Hamas di Doha yang berada di sana bagi tujuan rundingan.
"Serangan ini sekali lagi membuktikan bahawa rejim Zionis Israel menjadi ancaman serius terhadap keamanan dunia. Malaysia bersama masyarakat antarabangsa mesti tegas menentang kezaliman ini, mempertahankan hak rakyat Palestin dan menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan itu.
PKR turut menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) segera mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengecam keras serangan tersebut dan menegaskan keperluan OIC menyelaras langkah diplomatik, politik serta ekonomi sebagai respons terhadap keangkuhan Zionis.
PKR juga semua negara, khususnya di dunia Islam, Kesatuan Eropah, Asia, Afrika dan Amerika Latin, memperluas boikot terhadap Israel dalam semua bentuk termasuk, politik, ekonomi, perdagangan, sukan dan kebudayaan, sehingga rejim itu menghentikan apa yang disifatkan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami