Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini telah mengumumkan penubuhan pusat latihan parti yang dinamakan Pusat Penambahbaikan Demokrasi dan Inisiatif Sosial atau REFORMASI.

Pusat latihan tersebut akan diteraju oleh naib pengerusi PKR, Nurul Izzah Anwar selaku pengerusinya dan akan dibantu oleh bekas Ketua Pegawai Operasi Masterskill Education, Datuk Seri Dr Santhara Kumar a/l Ramanaidu

Santhara akan bertindak sebagai Pengarah Eksekutif pusat latihan itu.

Perkara itu telah dimakluman oleh Nurul Izzah yang menbacakan kenyataan bertulis oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media di lobi Parlimen pada Isnin.

“Dengan mengambilkira bahawa rakyat, masyarakat dan pengundi pada hari ini, terutama di kalangan anak muda telah menjadi lebih sofistikated, lebih kritikal dan lebih berilmu, maka parti (PKR) juga perlu lebih bersedia untuk menghadapi perkembangan positif ini.

“Dan perlu memastikan halatuju bahawa PKR sebernarnya adalah wadah politik yang mampu diletakkan sebagai harapan bagi mendukung hak serta kuasa rakyat, dan sentiasa berusaha memantapkan sistem politik negara yang sesuai dengan kehendak serta kepentingan rakyat,” katanya.

Menurut kenyataan Saifuddin itu, tujuan penubuhannya adalah untuk mengukuhkan pengetahuan dan kebolehan kalangan parti dan ahli pimpinannya tentang asas perjuangan parti.

Selain itu, ianya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang cabaran dan pengharapan pengundi untuk tatakelola yang baik di kalangan keanggotaan parti dan pimpinannya.

Menurut kenyataan it lagi, ianya juga bertujuan melatih keanggotaan parti dan masyarakat am secara sistematik dan tersusun tentang pengetahuan dan pemahaman politik, demokrasi, pilihan raya dan pentadbiran organisasi.

Tambahnya, pusat tersebut akan menjadi jentera utama bagi PKR untuk melatih dan menyampaikan ilmu pengetahuan tentang politik, demokrasi dan pentadbiran organisasi kepada para anggota, ahli pimpinan dan kakitangan parti serta kepada masyarakat am yang berteras dan mengutamakan 17 perkara asas tentang tujuan dan matlamat perjuangan parti.