KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Johor esok, yang merupakan kunjungan pertama beliau ke negeri itu sejak mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov lepas.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir menerusi satu hantaran di laman Facebook hari ini.

"Insya Allah, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim akan sampai ke Johor esok.

"Beliau dijangka menunaikan solat Jumaat bersama dengan jemaah Masjid Jamek Kampung Melayu Majidee. Moga dipermudahkan," katanya menerusi hantaran ringkas itu.

Ahli Parlimen Tambun itu terlebih dahulu akan bertemu masyarakat setempat ketika makan tengah hari berdekatan kampung tersebut.

Kali terakhir Pengerusi Pakatan Harapan itu turun ke Johor ialah ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 awal November lepas.

Presiden PKR itu juga pernah menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Kuala Lumpur, tiga hari selepas menjadi Perdana Menteri ke-10 Malaysia.