KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan penjelasan berhubung implikasi kewangan yang terlibat sekiranya semua pegawai perubatan lantikan kontrak diserap masuk dan seterusnya dilantik secara tetap.

Menurut Aturan Mesyuarat yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen, Anwar dijangka menjawab soalan yang dikemukan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri pada Selasa.

Dalam soalannya, Madius meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan pegawai perubatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam dan implikasi kewangan yang terlibat jika semua pegawai perubatan lantikan kontrak diserap masuk dan seterusnya dilantik secara tetap.

BACA: Mogok Doktor Kontrak: Kerajaan perlu selesaikan isu lambakan doktor - Dr Sharifa

BACA: 
Cuepacs bersolidariti bersama doktor kontrak tetapi tidak setuju tindakan mogok

Selain itu, Anwar juga akan menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun yang meminta perdana menteri menyatakan hasil lawatan sulung beliau ke China baru-baru ini dari segi ekonomi dan peluang pelaburan serta apakah manfaat yang rakyat Malaysia peroleh kelak.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi pula meminta Perdana Menteri menyatakan justifikasi tindakan kerajaan menyahsenaraikan produk cecair dan gel nikotin yang digunakan dalam alat rokok elektronik daripada Akta Racun 1952.

Dr Ahmad Yunus juga meminta Perdana Menteri menjelaskan pertimbangan kerajaan tentang implikasi negatif penyahsenaraian produk cecair dan gel nikotin.