NATIONAL
PM akui PRN Sabah antara punca peningkatan mendadak kes COVID-19

Muhyiddin berkata, PRN terpaksa diadakan selepas Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan DUN Sabah pada 30 Julai lepas. - Gambar fail
PUTRAJAYA:Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi antara punca peningkatan mendadak kes COVID-19 di Malaysia.
Menurutnya, PRN itu terpaksa diadakan selepas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lepas.
“Ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kita tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan. Pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh enam puluh hari selepas DUN dibubarkan. Ia tidak boleh ditangguh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Perutusan Khas Situasi Semasa COVID-19 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi beliau pada Selasa.
Tambah beliau, SPR telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketika kempen pilihan raya, namun ada SOP yang tidak dipatuhi.
“Misalnya penjarakan sosial (fizikal). Ketika saya turun berkempen di banyak tempat, saya lihat SOP mengenai penjarakan sosial agak kurang dipatuhi.
“Walaupun hampir keseluruhan memakai pelitup muka, tetapi masih ramai yang duduk dekat-dekat dalam keadaan yang agak sesak. Sehinggakan saya terpaksa membuat SOP saya sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sebahagian besar kes di Sabah sebelum ini berpunca daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran.
“Apabila ditahan di pusat tahanan, mereka menjangkiti tahanan lain. Virus ini juga telah menjangkiti kakitangan pusat tahanan, ahli keluarga mereka dan komuniti setempat.
“Begitu juga di Kedah. Virus ini sebahagian besarnya merebak dalam kalangan tahanan penjara selain terdapat kluster-kluster baharu dalam komuniti.
“Kerana itu bilangan mereka yang positif COVID-19 meningkat secara mendadak sejak beberapa minggu yang lalu,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami