BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pelaburan Pembangunan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA) dalam lawatan rasmi ke Brunei selama dua hari bermula hari ini.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata MoU itu merupakan susulan daripada Lawatan Khas Sultan Brunei ke Malaysia pada 28 Nov 2022 iaitu selepas Anwar dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri Malaysia.

"Ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk meneroka potensi pelaburan yang turut menjadi kepentingan bersama," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dalam pada itu, Zambry berkata perdagangan antara Malaysia dan Brunei terbukti terus meningkat bagi tempoh 2021 hingga 2022.

Pada tahun lepas misalnya, Brunei merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia serta keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan mencecah RM13.22 bilion (US$2.98 bilion).

"Bagi tempoh Januari-Disember 2022, Malaysia merekodkan peningkatan jumlah eksport ke Brunei sebanyak 33.3 peratus iaitu sebanyak RM7.4 bilion (US$1.68 bilion).

"Jumlah import dari Brunei pula sebanyak RM5.82 bilion (US$1.21 bilion) iaitu peningkatan 154.8 peratus dari tahun sebelumnya," katanya.

Lawatan rasmi ke Brunei merupakan lawatan ke luar negara yang kedua bagi Anwar sejak memegang jawatan perdana menteri.

Beliau dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kira-kira 3.30 petang ini.

-- BERNAMA