Skip to main content

Malaysia

PM Anwar arah SPRM siasat kelewatan bekalan baja, pesawah tidak boleh terus jadi mangsa

Anwar Ibrahim, di Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Perdana Menteri Anwar menghadiri majlis penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, di Serdang, pada Ahad.
Advertisement

SERDANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan serta mengkaji semula proses pembekalan yang menyebabkan kelewatan bantuan kepada pesawah, khususnya di Kedah.

Menurut Perdana Menteri, siasatan itu perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kelewatan berulang yang menjejaskan golongan petani dan pesawah, termasuk meneliti syarikat yang diberi tanggungjawab menguruskan pembekalan berkenaan.

Beliau menegaskan, isu tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana kesan akhirnya ditanggung oleh rakyat yang bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan.

“Yang siasat bukan saya. Yang siasat itu pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, di sini, hari ini.

Anwar berkata, setiap kes perlu diteliti secara menyeluruh oleh pihak bertanggungjawab sebelum sebarang tindakan diambil berdasarkan fakta serta peruntukan undang-undang sedia ada.

Beliau menegaskan, isu kelewatan pembekalan bukan sekadar polemik politik, sebaliknya membabitkan kecekapan pentadbiran dan kebajikan rakyat yang bergantung kepada hasil pertanian negara.

Mengulas kelewatan pengedaran baja kepada pesawah, Perdana Menteri mengakui menerima rungutan dan kemarahan daripada golongan yang terkesan dengan masalah tersebut.

“Saya terima kemarahan itu. Jadi kita perlu cari puncanya. Syarikat mana yang diberi amanah, dan mengapa perkara ini boleh berlaku,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya siasatan mendapati syarikat yang dilantik gagal melaksanakan tanggungjawab mereka, tindakan sewajarnya perlu diambil tanpa kompromi.

Menurutnya, syarikat yang berulang kali melakukan kesilapan sehingga menjejaskan kepentingan petani dan pesawah tidak wajar terus diberikan tanggungjawab yang sama.

“Kalau syarikat seperti ini berulang kali melakukan kesilapan, batalkan. Ambil syarikat baharu. Jangan jadikan petani dan pesawah mangsa,” tegasnya.

Anwar turut menegaskan, tindakan undang-undang perlu dipertimbangkan sekiranya terdapat asas yang kukuh, termasuk kemungkinan pendakwaan dan siasatan oleh SPRM.

“Kalau perlu dihadapkan ke mahkamah, hadapkan ke mahkamah. Kalau perlu didakwa, SPRM masuk,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan kelewatan pembekalan baja kepada pesawah berisiko menjejaskan pengeluaran padi tempatan serta menurunkan Kadar Sara Diri (SSR) beras negara.

Dianggarkan kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih belum menerima bekalan baja tambahan ketiga, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap hasil tuaian musim semasa.

Keadaan itu turut dibimbangi akan meningkatkan lagi kebergantungan Malaysia terhadap import beras bagi memenuhi permintaan domestik.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob, berkata jurang antara pengeluaran padi tempatan dan keperluan sebenar negara semakin membesar apabila kadar sara diri beras terus menunjukkan trend penurunan.

Menurut beliau, jika isu kelewatan bekalan input pertanian tidak ditangani segera, negara berdepan risiko lebih besar untuk bergantung kepada bekalan beras dari luar negara pada masa hadapan.

Must Watch Video

Advertisement