PM Anwar berlepas ke Turkiye untuk memulakan lawatan rasmi pertama tahun ini

Anwar turut diiringi Dr Wan Azizah. - Gambar ihsan Pejabat Perdana Menteri
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi pertama bagi tahun 2026 ke Turkiye bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Lawatan ini dijangka membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai bidang berlandaskan nilai persahabatan dan saling menghormati antara dua negara yang telah terjalin sekian lama.
Sebelum berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Subang, delegasi mengaminkan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Turut menemani Anwar ialah isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Antara menteri yang turut menyertai lawatan rasmi ini termasuk Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Terdahulu, media melaporkan, Anwar dijangka bersama-sama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, mempengerusikan Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi antara kedua negara sempena lawatan rasmi Perdana Menteri bermula esok hingga khamis ini.
Selain program rasmi di Ankara, lawatan ke Istanbul turut memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi melalui sesi meja bulat bersama syarikat-syarikat Turkiye.
Perdana Menteri juga dijangka berinteraksi dengan media bagi menjelaskan hala tuju hubungan Malaysia-Turkiye.
Lawatan rasmi ke Turkiye kali ini mencerminkan keazaman Malaysia untuk terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa yang strategik, pragmatik dan berorientasikan hasil, demi manfaat jangka panjang rakyat dan negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


