PUTRAJAYA: Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menyeludup atau menyalahgunakan bekalan minyak masak paket bersubsidi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia selaras dengan peraturan larangan pembelian minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing berkuat kuasa 1 Mac lalu.
Advertisement
“Mulai 1 Mac kita telah menguatkuasakan larangan penjualan dan pembelian minyak masak peket bersubsidi satu kilogram kepada bukan warganegara. Ini tindakan wajar. Mana mungkin subsidi diberikan kepada bukan warganegara.
"Ini yang kita laksanakan dulu dalam program elektrik dan BUDI95. Maka pastikan pelaksanaannya itu berkesan. Kalau ada yang cuba seludup dan sebagainya harus tegas dalam tindakan kita dan jalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini, pada Isnin.
Perdana Menteri turut mendedahkan, berlaku situasi pembelian minyak masak bersubsidi dalam jumlah besar oleh warga asing sebelum ini kerana mereka mahu komoditi itu dijual semula atau diseludup ke luar negara untuk meraih keuntungan berganda.
Susulan itu katanya, kerajaan perlu mengambil langkah lebih berkesan seperti pendekatan program subsidi lain, termasuk inisiatif BUDI 95 bagi memastikan bantuan kerajaan disasarkan kepada rakyat yang layak.