KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan hadir ke Istana Negara pada pukul 2.30 petang Selasa untuk Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri Persekutuan.

Pengesahan Perdana Menteri itu mengukuhkan lagi spekulasi akan berlaku rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Rombakan Kabinet? 2.30 petang nanti akan ke Istana (Negara),” kata Anwar kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Dewan Utama, Kementerian Kewangan, di sini, pagi ini.

Sejak semalam, media melaporkan kemungkinan lima portfolio kementerian bakal dirombak selain jawatan menteri di Kementerian Perdagangan Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang masih belum diisi susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Dalam masa sama, rombakan juga bakal melibatkan Kementerian Kewangan (MOF) dengan tumpuan kepada jawatan Menteri Kewangan Kedua.

Persoalan berbangkit ketika ini adalah adakah terdapat individu dari golongan teknokrat yang bakal diserap ke dalam Kabinet Perpaduan Kerajaan Madani.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri juga dijangka mengadakan sidang media mengenai rombakan Kabinet pada pukul 11 pagi ini di Pejabat Perdana Menteri.