MALAYSIA
PM Anwar puas hati kemajuan kerja-kerja pembinaan LCS, anggap ia membanggakan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau kerja-kerja pembinaan kapal tempur pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS) di Lumut Naval Shipyard (LUNAS) hari ini. - Foto Bernama
LUMUT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau amat berpuas hati dengan kemajuan kerja-kerja pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) oleh Lumut Naval Shipyard (Lunas) di Pangkalan Tentera Laut Diraja (TLDM) di sini dan menyifatkannya sebagai membanggakan.
Ringkasan AI
- Kemajuan projek LCS membanggakan: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan kemajuan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) oleh Lumut Naval Shipyard, yang dianggap bukti keutamaan kerajaan terhadap keselamatan negara dan tadbir urus baik.
- Peranan TLDM dan peruntukan pertahanan: TLDM dilihat sebagai benteng utama keselamatan maritim negara, dan Kementerian Pertahanan menerima peruntukan ketiga terbesar dalam Belanjawan 2025 sebanyak RM21.2 bilion.
- Komitmen Kerajaan MADANI: Anwar menegaskan keperluan memperkukuh aset pertahanan dan menekankan pentingnya pengurusan berintegriti bagi memastikan keselamatan negara terjamin.
"Pengalaman lepas (kelewatan) sebab pengurusannya, sebab tatakelolanya, sebab rasuahnya, kalau pengurusan itu lemah, bagaimana terjamin maritim ini selamat. Sebab itu kita tidak boleh lari daripada apa disebut good governance," katanya ketika berucap pada Program Kenduri Rakyat Menyantuni Warga TLDM Lumut sempena Program Madani Rakyat 2025 Perak di Dewan Shariff, Pangkalan TLDM Lumut di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Terdahulu Perdana Menteri melakukan lawatan kerja ke Lunas di Pangkalan TLDM Lumut, di sini bagi meninjau kerja-kerja pembinaan LCS.
Sementara itu Anwar berkata kerajaan juga sentiasa mengambil berat keperluan menambah baik aset- aset pertahanan negara, dan untuk tujuan itu kementerian pertahanan adalah antara kementerian diberikan peruntukan terbesar dalam belanjawan setiap tahun.
"Ini antara tiga (kementerian diberi peruntukan) terbesar... Yang pertama pendidikan, kedua kesihatan dan ketiga pertahanan. Untuk tahun 2025 sahaja RM21.2 bilion ringgit, bayangkan bukan kecil bagi negara yang berkembang, kita beri peruntukan yang besar," katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan mengambil langkah itu sebagai menghargai pergorbanan pasukan keselamatan dan demi jaminan keselamatan negara yang stabil kerana kestabilan adalah faktor untuk ekonomi berkembang pesat.
Anwar juga berkata hati beliau tersentuh setiap kali mengetahui mengenai aset-aset keselamatan negara yang usang.
"Sebab itu sejak kita tubuh Kerajaan Madani ini, saya panggil semua panglima-panglima (angkatan tentera), saya kata, berikan saya urutan keutamaan apa yang harus dilakukan dan kita cari dana yang cukup untuk persiapkan jentera dan kelengkapan yang diperlukan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami