MALAYSIA
PM Anwar salur peruntukan tambahan RM200,000 untuk RXZ Members 7.0

Shamsul Iskandar (dua, kanan) menyerahkan sumbangan khas Perdana Menteri berjumlah RM100,000 kepada Pengarah RXZ Members 7.0, Mohd Luqman Hassan (kiri) pada Majlis Perasmian RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Gong Badak, hari ini. - Gambar Bernama
KUALA NERUS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 yang berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak, di sini selama dua hari bermula semalam.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata peruntukan itu bertujuan menyuntik semangat penganjur untuk terus menganjurkan aktiviti sukan permotoran yang memberi impak ekonomi serta memperkukuh silaturahim.
Beliau berkata Program RXZ Members 7.0 yang majoritinya disertai golongan belia menjadi platform penting menghimpunkan peminat sukan permotoran dari seluruh negara sekali gus mengangkat industri itu ke tahap lebih tinggi.
"Sebelum ini Perdana Menteri telah memberikan peruntukan RM100,000 dan, hari ini saya mewakili beliau menyampaikan tambahan RM200,000, menjadikan keseluruhan sumbangan sebanyak RM300,000."Bantuan tambahan ini diusahakan sendiri oleh Perdana Menteri dengan sokongan syarikat korporat. Kita harap sokongan ini memberi dorongan kepada penganjur untuk terus menganjurkan program serupa pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu, hari ini.
Sementara itu, Shamsul Iskandar menafikan dakwaan kononnya kerajaan menghalang penganjuran RXZ Members 7.0 melibatkan kerajaan Terengganu.
Katanya dakwaan itu tidak tepat kerana program tersebut dianjurkan secara persendirian tanpa membabitkan kerajaan negeri mahupun mana-mana ahli politik, selain sudah menjadi acara tahunan.
"Mereka (penganjur) hanya memohon pertimbangan Perdana Menteri untuk mendapatkan sokongan, dan beliau melihat program seperti ini sebagai ruang meraikan kepelbagaian dari seluruh negara serta peluang memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami