[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
MALAYSIA

PM Anwar, Wan Azizah zahir dukacita atas pemergian isteri Premier Sarawak

Afiezy Azaman 23/06/2025 | 00:15 MYT
Anwar menyatakan beliau dan keluarga amat sedih menerima berita pemergian Allahyarhamah dan turut menyampaikan ingatan serta doa buat keluarga. - Foto Facebook/Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang, isteri kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, awal pagi tadi.
Dalam satu kenyataan, Anwar menyatakan beliau dan keluarga amat sedih menerima berita pemergian Allahyarhamah dan turut menyampaikan ingatan serta doa buat keluarga, khususnya Premier Sarawak yang baru sahaja ditemuinya semalam.
“Seluruh ingatan kami pada keluarga Allahyarhamah, terutama buat Abang Jo yang baru saya temui semalam. Moga terus sabar dan tabah menerima ujian ini.
“Kami sekeluarga menitipkan doa semoga roh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan dikurniakan tempat yang istimewa di sisi-Nya. Al-Fatihah,” katanya.
Awal pagi Isnin, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazruddin Abdul Rahman, mengesahkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.34 pagi di Pusat Perubatan Normah, Kuching, pada usia 76 tahun.
Katanya, Majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Masjid Jamek, Petra Jaya, Kuching dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, sebelum jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya.
Allahyarham dikenali sebagai seorang tokoh wanita yang sentiasa menyokong kepimpinan suaminya dalam pembangunan negeri Sarawak dan banyak terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan serta kebajikan.
#Anwar Ibrahim #Wan Azizah Wan Ismail #Juma'ani Tuanku Bujang #meninggal dunia