Beliau bagaimanapun turut menjelaskan, pelaksanaan subsidi bersasar itu dilihat sangat mendesak ketika ini berdasarkan kepada jumlah subsidi ditanggung kerajaan yang kini mencecah RM81 bilion.
“Dalam perkiraan dan pertimbangan kerajaan, termasuk jemaah menteri, sementara subsidi bersasar itu dilihat sangat mendesak kerana subsidi kini sudah RM81 billion, dasar kita tidak akan menekan.
“Sepertimana contoh terbaik, Tabung Haji. Dan kadar (tarif) elektrik yang tidak akan dikenakan. Meskipun ada kekeliruan yang dibangkitkan, seolah-olah kadar elektrik itu akan dikenakan kepada rakyat biasa.
“Tidak benar sama sekali. Kalau ada, mungkin ada sedikit pelanggaran daripada peraturan ditetapkan. Saya tidak fikir mungkin, kerana keputusan dari Jemaah Menteri itu jelas. Hanya untuk golongan berpendapatan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang membangkitkan isu tersebut ketika sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Pada sesi sama, Perdana Menteri turut menyentuh isu Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan menyatakan ia tidak hanya bergantung kepada peningkatan faedah di Amerika Syarikat namun turut melihat kepada asas lain.
“Dalam beberapa kali mesyuarat, Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menaikkan OPR, memikirkan soal inflasi rendah dan kesan kepada rakyat.
“Saya fikir dasar itu akan dikekalkan, melainkan kalau keadaan sangat mendesak. Kalau ikut perundangan, dari dulu memang bidang kuasa dan wawenang BNM,” ujarnya.