TOKYO: Meskipun berbeza ideologi politik namun 'perseteruan' itu tidak memutuskan hubungan peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kedua-dua pemimpin itu bertemu semasa majlis makan malam Persidangan Antarabangsa ke-27 Mengenai Masa Depan Asia di Tokyo, Jepun malam tadi.

Menurut Ismail Sabri, beliau sempat meluangkan masa bertemu dan bertanya khabar bekas perdana menteri itu.

"Beliau (Dr Mahathir) berada di Jepun untuk turut memberi ucaptama pada Persidangan Nikkei ke-27 itu hari ini.

"Saya menyampaikan ucaptama pada persidangan itu dalam bahasa Melayu semalam," katanya dalam Facebook miliknya di sini, pada Jumaat.

Dihoskan Nikkei Inc. setiap tahun sejak 1995, persidangan itu menghimpunkan pemimpin-pemimpin kerajaan dan tokoh-tokoh perniagaan bagi berkongsi visi untuk masa depan Asia.

Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi ke Jepun selama enam hari sehingga Sabtu ini.

Lawatan pertama Ismail Sabri ke Jepun selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu itu juga merupakan lawatan paling berprofil tinggi ke negara matahari terbit itu selepas lebih dua tahun susulan sekatan pergerakan ekoran pandemik COVID-19.

Ismail Sabri turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Fumio Kishida, yang baru memegang jawatan itu Oktober lalu dalam lawatannya ini.