Selalunya wartawan yang akan bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri namun hari ini berlaku situasi sebaliknya apabila tugas itu di ambil alih oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaik sahaja Istiadat Pembukaan Parlimen ke-13 tamat, Najib yang ketika itu melintasi barisan sekumpulan wartawan tidak semena-mena bertanyakan soalan berkenaan tarikh PRU14 kepada wartawan.

“Bila PRU14?" tanya beliau sambil ketawa kecil .

Pertanyaan Najib disambut dengan derai tawa para wartawan yang berada di Lobi Parlimen.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung titah ucapan Yang Dipertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, Najib menyatakan bahawa beliau tidak berhasrat untuk membuat sebarang komen.

“Saya tidak akan beri pendapat, tidak hari ini,” katanya sambil memimpin tangan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sebelum beredar.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 5 April, manakala Dewan Negara dari 16 April hingga 30 April selama sembilan hari.