PM Ismail Sabri bentang RMK-12 hari ini

Astro Awani
September 26, 2021 21:45 MYT
Pembentangan RMK-12 akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2021 hingga 2025. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Pembentangan RMK-12 yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2021 hingga 2025 itu, dijadualkan pada 11.30 pagi selepas sesi soal jawab lisan.
Berhadapan pandemik COVID-19 di penghujung Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) selain perubahan pimpinan kerajaan, pembentangan RMK-12 dipinda sekurang-kurangnya dua kali daripada tarikh asal pada 6 Ogos tahun lepas kepada Januari tahun ini, sebelum akhirnya dibentang hari ini.
Bersesuaian dengan tema Keluarga Malaysia, RMK-12 dijangka memberi keutamaan kepada aspek kebajikan dan perlindungan sosial masyarakat yang merupakan penggerak ekonomi negara dengan projek-projek pembangunan akan turut lebih berpaksikan rakyat berbanding projek-projek mega baharu.
Menurut takwim mesyuarat Dewan Rakyat, sesi perbahasan RMK-12 akan bermula pada 28 September hingga 4 Oktober, sebelum penggulungan oleh menteri-menteri berkaitan.
Dapatkan berita tentang RMK-12 di sini.
BACA: PM Ismail Sabri bentang RMK-12 Isnin ini
#ismail sabri yaakob #RMKe-12 #Dewan Rakyat #hala tuju pembangunan lima tahun negara