SHAH ALAM: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan keyakinan bahawa pelabur asing akan terus berminat menanam modal di negara ini hasil polisi dan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, bagi tempoh sembilan bulan yang lalu sehingga Jun, negara merekodkan nilai pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM74.1 bilion, sekali gus mengatasi jumlah FDI tahunan pada 2018 hingga 2021.

Justeru katanya, kejayaan yang dicapai membuktikan ekonomi negara kini semakin pulih, dan kerajaan komited menjayakan inisiatif yang diumumkan sebelum ini.

“Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan perdagangan borong dan runcit yang kukuh, tahun ke tahun sebanyak 44 peratus kepada RM132.8 bilion pada Jun 2022.

“Ia merupakan paras tertinggi sejak tahun 2013, dengan lonjakan besar dalam jualan kenderaan bermotor.

“Selain itu, pada tahun 2021, jumlah dagangan Malaysia buat pertama kalinya telah melepasi paras RM2 trilion, meningkat 24.9 peratus dari tahun sebelumnya berikutan prestasi memberangsangkan bagi kedua-dua eksport domestik dan eksport semula,” kata Perdana Menteri ketika berucap merasmikan program Aspirasi Keluarga Malaysia 2022 Negeri Selangor di sini pada Jumaat.

Dalam ucapan beliau juga, Ismail Sabri sekali lagi mengulangi pendirian bahawa kerajaan tidak berpeluk tubuh dalam membantu Keluarga Malaysia dalam mendepani isu kos sara hidup dan inflasi.

Jelas Perdana Menteri, kerajaan sentiasa berusaha memastikan Keluarga Malaysia kalis cabaran.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Inisiatif JaminKerja bernilai RM4.8 bilion yang diperkenalkan pada Februari lalu turut membantu rakyat Malaysia yang terjejas mendapatkan pekerjaan.

Katanya, sehingga kini sebanyak 400,000 telah diisi di seluruh negara, dengan kerajaan mensasarkan 600,000 peluang pekerjaan.

“Alhamdulillah, sejak setahun lalu, kadar pengangguran menurun sehingga 3.8 peratus pada bulan Jun, paras terendah sejak pandemik COVID-19 daripada 4.6 peratus pada bulan Ogos 2021,” tambah Perdana Menteri.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang ditubuhkan pada Jun lalu juga menunjukkan hasil positif.

Hasil penubuhan pasukan khas itu, beliau berkata beberapa harga barangan seperti ayam berjaya diturunkan.

“Saya sememangnya berharap semua pihak akan terus memberi sokongan terhadap segala inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan demi kebaikan seluruh Keluarga Malaysia,” kata Ismail Sabri.