Skip to main content

Bisnes

Projek New TDM pacu transformasi industri peralatan negara

Sumber: BERNAMA
Nik Sazali berucap pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Anugerah Projek TDM 2.0 di Hotel & Suites Mardhiyyah, Shah Alam, malam tadi. - Gambar Bernama
Advertisement

SHAH ALAM: Industri Alat, Dai dan Acuan (Tool, Die and Mould) (TDM) Malaysia bersedia melangkah ke fasa transformasi digital dan berdaya saing di peringkat global menerusi pelancaran Projek NEW TDM (NEW TDM Project) bulan depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Bhd, Nik Sazali Nik Hussin berkata, inisiatif strategik itu dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi memperkukuh ekosistem TDM negara secara menyeluruh.

“Projek NEW TDM ini bukan sekadar kesinambungan kepada program terdahulu, tetapi ia merupakan satu intervensi generasi baharu yang membawa ekosistem TDM ke tahap digital yang lebih tinggi."

“Fokus utama projek ini memperkasakan aktiviti kejuruteraan bernilai tinggi terutamanya reka bentuk tiga dimensi (3D) yang disokong teknologi kejuruteraan digital moden termasuk kecerdasan buatan (AI)," katanya pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Anugerah Projek TDM 2.0 di Hotel & Suites Mardhiyyah, di sini, malam tadi. 

Menurut Nik Sazali, langkah proaktif itu direka khusus untuk memperkukuh keupayaan syarikat tempatan bermula proses merancang sehingga mengeluarkan pelbagai jenis produk canggih yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, transformasi berkenaan turut membabitkan pembangunan platform digital bersepadu berasaskan persekitaran 3DEXPERIENCE bagi membolehkan pemain industri beroperasi dengan lebih cekap dan pantas.

"Penekanan khusus juga diberikan kepada aspek pembangunan bakat bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang Reka Bentuk Bantuan Komputer (CAD), Pembuatan Bantuan Komputer (CAM), Kejuruteraan Bantuan Komputer (CAE) dan pembuatan lanjutan.

"Matlamat jangka panjang kita adalah jelas untuk membolehkan syarikat TDM tempatan muncul sebagai pembekal pilihan kepada pengeluar peralatan tulen (OEM), seterusnya menjadi pemain industri peringkat global," katanya.

Mengulas lanjut, peralihan fasa itu dilihat amat penting bagi memastikan Malaysia bukan sekadar menjadi pusat pemasangan, malah menguasai keseluruhan rantaian nilai pembuatan bertaraf dunia.

Menurutnya, asas kukuh yang telah dibina menerusi program terdahulu akan menjadi landasan pantas untuk Projek NEW TDM melonjakkan keupayaan industri sedia ada ke tahap yang lebih membanggakan.

"Sudah tiba masanya untuk kita bergerak ke hadapan melangkaui konsep konvensional demi meletakkan nama Malaysia di peta global sebagai penyedia TDM yang disegani.

"Kejayaan fasa terdahulu (TDM 2.0) terbukti menerusi peningkatan kapasiti pengeluaran sehingga 88 peratus serta pertambahan nilai kasar mencecah RM292 juta pada tahun 2024 sahaja," katanya.

Sehubungan itu, Nik Sazali berkata, pelancaran Projek NEW TDM pada Oktober depan dijangka menarik minat lebih banyak syarikat tempatan untuk menyertai program transformasi digital dan peningkatan kapasiti yang dianjurkan.

Terdahulu, Nik Sazli menyampaikan anugerah kepada 36 penerima yang juga syarikat graduan TDM 2.0 bagi meraikan pencapaian cemerlang mereka dalam memperkasakan industri peralatan tempatan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement