KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan kerja ke Washington D.C., Amerika Syarikat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat pada 12-13 Mei ini.

Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak khas berkenaan bermula 10 Mei.

Beliau akan diiringi Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, semasa sidang kemuncak khas berkenaan, Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin ASEAN lain dijadualkan menyertai beberapa siri mesyuarat dan perbincangan dengan Presiden dan Naib Presiden Amerika Syarikat.

Program-program lain yang diaturkan oleh pihak Amerika Syarikat termasuklah sesi-sesi bersama kepimpinan Kongres Amerika Syarikat, beberapa anggota kabinet dan pemimpin perniagaan Amerika Syarikat.

Sidang kemuncak khas ini diadakan bersempena ulang tahun ke-45 hubungan Dialog ASEAN-Amerika Syarikat.

Ia merupakan landasan strategik bagi ASEAN dan Amerika Syarikat mengkaji dan meneroka bidang kerjasama yang pragmatik bagi memperkukuh kerjasama sedia ada.

Sidang Kemuncak Khas ini dijangka membincangkan antara lain, isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, kerjasama ekonomi, COVID-19 dan keselamatan kesihatan, perubahan iklim dan tenaga bersih.