BUKIT MERTAJAM: Setelah melalui pelbagai liku, akhirnya perjuangan selama 24 tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim berbaloi selepas dipilih sebagai Perdana Menteri ke-10, hari ini.

Bagi abang sulung Anwar, Idrus Ibrahim, 80, tiada kata yang dapat dizahirkan terhadap adiknya itu selain bersyukur apabila segala penat lelah dan cita-cita adiknya untuk menjadi pemimpin nombor satu negara termakbul.

Idrus berkata, beliau mahu melihat adiknya itu memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan baik serta melaksanakan segala perancangan yang selama diimpikannya sekali gus membawa perubahan menyeluruh kepada negara.

Beliau juga berharap dengan terbentuknya kerajaan perpaduan ini, Anwar dapat membawa lembaran baharu yang lebih harmoni untuk rakyat di negara ini.

"Alhamdulillah, saya rasa lega penantian selama lebih 20 tahun, cita-cita dia untuk memimpin dan membawa perubahan kepada masyarakat Malaysia tercapai dan (saya) berdoa supaya dia dapat melaksanakan apa yang telah dia impikan selama ini," ujarnya ketika ditemui Astro AWANI rumah keluarga mereka di Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam pada Khamis.

Pesara guru itu berkata, meskipun sering dituduh dengan pelbagai tohmahan, namun, katanya Anwar tidak pernah patah semangat.

Sebaliknya, beliau kekal berjuang demi membantu rakyat termasuk juga di Cheruk Tok Kun.

"Walaupun Anwar tak pernah jadi perdana menteri (sebelum ini), tapi (dengan) penduduk Cherok Tok Kun, Anwar suka dengan masyarakat di sini, dia mesti beri sumbangan kepada penduduk, setiap bulan, tiap tiap bulan mesti ada.

"Sumbangan masjid, korban di masjid, kira kampung dia, dia tak pernah tinggalkan Cherok Tok Kun, (tempat itu) sentiasa ada dalam ucapan dia... dia dok sebut selalu, tak pernah tinggal dalam hidup dia," katanya lagi.

Terdahulu, Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

[LAPOR LANGSUNG] Pasca PRU15: Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10 - Istana Negara

Pada PRU15, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menang kerusi Parlimen Tambun dengan majoriti 3,736 undi.

Beliau memperoleh 49,625 undi untuk mengatasi penyandang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang memperoleh 45,889 undi.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Md Hanafiah mendapat 28,140 undi manakala calon GTA, Abdul Rahim Tahir 1,115 undi.