KAJANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan berkenaan dengan Kabinetnya, terutama membabitkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Kata beliau, keutamaan akan diberikan kepada parti komponen terbesar dalam kerajaan perpaduan pimpinannya iaitu Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang masing-masing memperolehi 30 dan 23 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu dinyatakan oleh beliau dalam sidang media pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, di Sungai Long Golf and Country Club di sini, pada Khamis malam.

“Apabila sudah diputuskan, akan dimaklumkan. Semestinya (TPM) daripada BN atau GPS yang merupakan komponen terkuat,” katanya.

[LAPOR LANGSUNG] Pasca PRU15: Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10 - Istana Negara

Dalam pada itu, beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) amat mengalu-alukan Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti lain untuk menyertai kerajaan perpaduan itu.

Jelasnya, beliau dan parti komponen PH bersedia menerima penyertaan parti-parti lain bagi menyatukan negara.

Ditanya sama ada kerajaan beliau akan memberi peluang kepada individu yang sudah mempunyai kes mahkamah untuk mendapat jawatan dalam Kabinet, Anwar berkata, kerajaan perpaduan sudah mempunyai pendirian yang jelas dan membuka ruang untuk perbincangan melibatkan ahlinya.