Sebuah kerajaan yang terbina kukuh merupakan kerajaan yang mendengar nadi denyut rakyat dengan mengutamakan rakyat dan memenuhi keperluan dan kemudahan untuk rakyat.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerajaan perlu menghayati apa yang terkandung dalam isi hati rakyat.

Katanya semenjak beliau mengambil alih kepimpinan negara, perkara utama yang dilakukannya adalah mendahulukan rakyat.

Ini termasuklah soal perumahan, yang merupakan aspek penting bagi rakyat dan adalah menjadi satu tanggungjawab kerajaan untuk membina tempat berteduh mampu milik untuk rakyat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pecah Tanah program perumahan rakyat di Wakaf Mek Zainab, lewat petang tadi.

Najib menjelaskan, projek perumahan ini antara tujuh janji yang dibuat beliau semasa lawatannya pada 20 Januari lepas dan hari ini janji ditepati.

Katanya keperluan rumah bagi penduduk bandar Kota Bharu amat tinggi dan ianya perlu disegerakan pembinaannya.

Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu melibatkan pembinaan sebanyak 1,000 unit yang dikhaskan untuk warga bandar ini.

Pelaksanaan projek itu merupakan satu rekod apabila dilaksanakan dalam tempoh 53 hari selepas dijanjikan oleh Perdana Menteri.

Pada majlis itu Perdana Menteri turut mengumumkan berita gembira buat warga kota Bharu bahawa rumah terbabit berkeluasan 700 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, yang dibina dengan kos kira-kira RM160,000 seunit.

Ianya akan dijual pada harga hanya RM35,000 seunit selepas kerajaan memberi subsidi sebanyak RM125,000.

Pembinaannya akan bermula September ini dan dijangka siap pada tahun 2015.

Katanya kerajaan Barisan Nasional akan menunaikan janii yang di buat dan tidak akan memungkiri janji atau sekadar menabur janji yang akhirnya akan mengikis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.