Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor berlepas ke Kaherah untuk lawatan kerja tiga hari ke Mesir.

Pesawat yang membawa Najib dan isteri dijadual tiba di lapangan terbang antarabangsa Kaherah pada 6.20 petang waktu tempatan.

Lawatan kerja Najib ke Mesir turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zain.

Di Kaherah, Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Mesir Mohamed Morsi pada Selasa.

Pada hari berikutnya, Najib juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Mesir Dr Hesham Qandil.

Lawatan Najib ke Mesir adalah bagi membincangkan hubungan bilateral masa depan Malaysia dengan Mesir termasuk mekanisme kerjasama dalam beberapa isu substantif termasuk perdagangan, pelaburan, ekonomi dan pendidikan.

Selepas lawatan kerja ke Mesir, Najib yang juga Menteri Kewangan, dijadual menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland dari 23 hingga 27 Jan.

Beliau dijadual pulang ke tanah air pada Ahad.