Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SPP1M) bagi membantu pelajar di peringkat pengajian tinggi mendapat kemudahan pinjaman kewangan.

Bertindak sebagai tambahan kepada pinjaman pendidikan sedia ada, ia ditawarkan kepada mereka yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang sains, teknologi, profesional dan perubatan.

Jelas Najib, skim tersebut merupakan penyelesaian kreatif bagi membantu pelajar dari keluarga berpendapatan sederhana untuk melanjutkan pelajaran.

"Melalui cara seperti ini melalui "topping up" maka ramai lagilah pelajar-pelajar kita akan berpeluang untuk meneruskan pengajian mereka,"

"Mungkin mereka yang tidak mampu menerima kemasukan ke universiti luar negara dan terpaksa memilih cara lain tetapi sekarang dengan ada skim ini ibu bapa boleh la menghantar anak mereka ke instititusi pengajian tinggi," katanya ketika merasmikan skim tersebut di pejabatnya, disini.

Jelasnya, kerajaan telah menyediakan peruntukan besar dalam bentuk pinjaman atau biasiswa memandangkan kos pendidikan pengajian tinggi semakin meningkat.

Kerajaan juga jelasnya turut menjamin 10 peratus daripada keseluruhan dana SPP1M yang berjumlah RM5 bilion bagi mengurangkan risiko institusi kewangan.

Ia sekaligus memberi tekanan kepada ibu bapa terutamanya yang membiayai pendidikan secara persendirian.

Skim tersebut bakal menawarkan pinjaman sehingga RM150,000 untuk bidang kepakaran perubatan dan RM100,000 bagi kursus kritikal dan terpilih.

Turut ditawarkan, tempoh pembayaran balik selama 20 tahun dengan pengurangan kadar faedah pinjaman sebanyak satu peratus sepanjang tempoh pengajian.

Setakat ini hanya dia institusi kewangan yang menawarkan pinjaman berkenaan iaitu Maybank dan RHB Bank.

SPP1M yang dikendalikan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) bakal dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu suku ke-2 tahun 2013 bagi kemasukan ke universiti tempatan dan Jun 2013 untuk program berkembar dan program luar negara.