SUNGAI PETANI: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak wajar membuat kenyataan menuntut jawatan Kabinet diserahkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya ada kekosongan kerana ia adalah hak mutlak dan kuasa prerogatif perdana menteri, kata Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff.

Shahanim berkata kenyataan Wan Ahmad Fayhsal itu adalah sangat tidak wajar kerana ia bersifat provokasi dan menganggu tugas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kenyataan (Wan Ahmad Fayhsal) tersebut adalah sangat tidak wajar kerana bersifat provokasi, biarlah perdana menteri yang tentukan siapa yang beliau nak lantik sebagai Jemaah Menteri.

“Pelantikan jawatan ahli Kabinet adalah merupakan kuasa prerogatif dan hak mutlak seorang perdana menteri, orang lain tak perlu nak sibuk atau desak kerana ia sangat tidak manis,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Sungai Petani, di sini petang tadi.

Majlis yang diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Sungai Petani itu turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin; Pengerusi MARA Corp, Senator Datuk Othman Aziz.

Terdahulu majlis tersebut di banjiri sekitar 10,000 penduduk sekitar Sungai Petani ekoran kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan kerajaan awal bulan lalu.

Seterusnya ketika ditanya tentang persiapan pilihanr aya umum, Shahanim menjelaskan jentera UMNO Sungai Petani telah bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“InsyaAllah kami di Sungai Petani sentiasa bersedia dalam menghadapi pilihanr aya umum sekiranya kerajaan bertindak membubarkan Parlimen.

“Terserah pada pucuk pimpinan parti bila nak adakan PRU, apa yang pasti UMNO Sungai Petani akan memastikan kerusi Parlimen ini dapat dirampas semula sekali gus nasib rakyat di Sungai Petani terus terbela,” tegasnya lagi.