MALAYSIA
PM Malaysia, Vietnam bincang isu serantau, hubungan dua hala menerusi panggilan telefon

Anwar memaklumkan pemimpin Vietnam mengenai inisiatif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam menangani ketegangan di sempadan Kemboja-Thailand. - Foto Facebook/Anwar Ibrahim
HANOI: Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan isu serantau dan kerjasama dua hala menerusi panggilan telefon pada Rabu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Dalam pangggilan itu, Anwar memaklumkan pemimpin Vietnam mengenai inisiatif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam menangani ketegangan di sempadan Kemboja-Thailand. Beliau menegaskan komitmen Malaysia untuk menggalakkan dialog serta memastikan perpaduan dan kesepakatan dalam menangani isu berkenaan.
Anwar turut menyeru Kemboja dan Thailand agar dapat menahan diri, mengelak penggunaan kekerasan serta menyelesaikan perbezaan secara aman dan saksama berdasarkan undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Piagam ASEAN dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).
Sementara itu, Chinh menghargai pertukaran pandangan yang kerap antara kedua-dua pemimpin dalam isu-isu berkepentingan bersama, yang menurutnya mencerminkan tahap kepercayaan politik yang semakin meningkat antara Vietnam dan Malaysia, sejajar dengan semangat Perkongsian Strategik Komprehensif kedua-dua negara.Beliau turut memuji usaha Anwar serta Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam mempromosikan penyelesaian kepada ketegangan di sempadan Kemboja-Thailand, khususnya penganjuran mesyuarat khas pada 28 Julai antara Perdana Menteri Kemboja dan Pemangku Perdana Menteri Thailand yang membawa kepada perjanjian gencatan senjata-langkah positif pertama dalam meredakan konflik antara kedua-dua negara.
Chinh berkata Vietnam sentiasa menyokong dan bersedia menyertai usaha ASEAN serta bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam menangani isu serantau, di samping mengekalkan solidariti blok itu. Beliau turut menyatakan kesediaan Vietnam untuk menghantar wakil ke mekanisme ASEAN bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata dan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang terjejas di kedua-dua negara.
Mengenai kerjasama dua hala, kedua-dua Perdana Menteri bersetuju untuk meneruskan pertukaran pandangan ke arah memperkukuh kepercayaan dan melaksanakan langkah-langkah bagi memperdalam Perkongsian Strategik Komprehensif mereka.
Antara bidang keutamaan termasuk kerjasama dalam inovasi, sains dan teknologi serta sektor tenaga, khususnya projek penghantaran tenaga elektrik yang menghubungkan Vietnam, Malaysia dan Singapura bagi membentuk grid kuasa ASEAN.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha mempercepatkan pemeteraian perjanjian perdagangan beras bagi membolehkan Vietnam menyokong Malaysia dalam menjamin keterjaminan makanan.
Mereka turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama seperti dasar perdagangan dan tarif, sambil menegaskan komitmen kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran untuk negara masing-masing, rantau ini dan dunia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami