KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru penjawat awam agar memberi contoh yang baik kepada rakyat dalam memungkinkan perubahan dalam negara.

Beliau berkata, perkara itu dimulakan di peringkat atasan kerana mahu penjawat awam memaknai prinsip kebertanggungjawaban.

"Kita sebagai pembuat dan pelaksana dasar tidak harus bersikap berpuas hati dan mesti buat sedaya upaya untuk memungkinkan perubahan.

"Setelah menyemak fail-fail di Kementerian Kewangan setakat ini, saya jumpa banyak kecurangan yang saya anggap keterlaluan.

"Namun, urusan untuk menyiasat bukan urusan saya. Urusan saya adalah menetapkan dasar dan menegakkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban," katanya menerusi perkongsian di Twitter pada Khamis selepas mengadakan perjumpaan bersama ketua jabatan dan pegawai kanan Persekutuan di Dewan Senat Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Jelasnya, beliau tidak mahu keterlanjuran berkaitan beberapa hal sebelum ini berterusan sehingga menyukarkan rakyat.

"Sebagai contoh, projek tebatan banjir adalah hal mendesak dan ia akan diluluskan tanpa tender bagi memudah dan menyegerakan projek tersebut kerana ia melibatkan keselamatan dan kepentingan rakyat," tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Anwar turut memberitahu bahawa beliau akan mengadakan pertemuan bersama kepimpinan negeri Terengganu selepas suhu politik negeri itu dileraikan.

Perkara itu juga katanya telah disembah maklum ketika sesi menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah hari ini.