SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, dalam ucapan terakhirnya di republik itu sebelum melepaskan jawatan hujung bulan ini, menyeru rakyat Singapura supaya terus bersatu padu dan mengekalkan kestabilan politik bagi hala tuju Singapura ke hadapan.

Lee, yang akan menyerahkan jawatan itu kepada Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada 15 Mei, dalam ucaptamanya di Rapat Hari Buruh pada Rabu, mengulangi sokongan kepada penggantinya dan meminta rakyat Singapura melakukan perkara yang sama.

"Saya mempunyai keyakinan terhadap Lawrence dan pasukannya. Pasukan 4G akan berganding bahu menangani isu-isu yang akan timbul dan merealisasikan agenda Singapura ke Hadapan.

"Saya meminta semua rakyat Singapura untuk bersatu di belakang mereka dan bekerjasama untuk menjayakan Singapura demi anda," katanya pada perhimpunan yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands, di sini, Rabu.

Ucapan yang berlangsung selama lebih satu jam itu turut disiarkan secara langsung di laman media sosial Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Lee, yang menggalas jawatan Perdana Menteri sejak 2004, mengucapkan terima kasih kepada semua lapisan masyarakat Singapura atas sokongan mereka sepanjang 40 tahun beliau dalam politik.

Katanya, beliau merasakan "puas hati dan sempurna" kerana bersedia menyerahkan kepimpinan negara.

"Saya amat berterima kasih kepada menteri, Ahli Parlimen, pemimpin akar umbi dan kesatuan yang berdiri bersama saya sepanjang masa, lebih daripada satu generasi. Sebahagian daripada mereka telah pun tiada.

"... Saya sungguh bersyukur dan berterima kasih atas kepercayaan, keyakinan dan sokongan rakyat Singapura," katanya sebelum tunduk kepada orang ramai yang berdiri sambil memberikan tepukan gemuruh.

Lee juga memberi penghormatan kepada pendahulunya - bekas perdana menteri mendiang Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong - dan pasukan mereka yang telah membantu mewujudkan asas-asas kerajaan yang baik yang dipercayai oleh rakyat di bawah Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah.

Beliau berkata PAP telah memenangi sejumlah 15 pilihan raya - satu pencapaian yang tidak banyak negara dapat lakukannya.

"Mereka (kedua-dua pemimpin) bekerja keras untuk membangunkan sistem yang dapat bertahan menjangkaui penggal perkhidmatan mereka sendiri sebagai PM. Saya dan pasukan telah melakukan yang terbaik untuk menyelia Singapura dan melindungi masa depannya. Pengganti kita mesti melakukan perkara yang sama," kata Lee.

Dalam ucapannya di hadapan lebih 1,700 pemimpin kesatuan dan rakan kongsi tiga pihak, Lee juga memberi penghormatan kepada sumbangan pergerakan buruh kepada Singapura dari prakemerdekaan sehingga kini, termasuk sokongan mereka kepada PAP.

Beliau berkata kesatuan akan terus memainkan peranan yang lebih penting bagi negara pada masa depan dalam menangani ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik.

-- BERNAMA